Jangan Jadi Macam Aku

Pengenalan

Namaku Jabun (bukan nama sebenar). Aku dilahirkan tanggal 1981 dan menetap di kawasan bandar.  Masih belum berumahtangga. Bukan tak mahu berumahtangga, mahu tu memanglah sangat mahu. Tetapi kehidupan sendiri pun masih tidak terurus. Kerja pun kuli-kuli sahaja.

 Mengapa aku menulis kisah yang berkisar dengan hidupku? Aku mahu kongsikan dengan budak-budak zaman sekarang supaya korang tidak terikut dengan jejak hidupku yang pernah lalui. Supaya korang dapat ikhtibar dari kisah ini.

Semasa suatu ketika dahulu, aku memang sudah biasa dengan kehidupan yang senang. Tambahan pula aku adalah anak tunggal. Apa saja sudah pasti aku dimanjakan. Sebaliknya ibu dan ayahku tidak mempunyai hubungan yang elok dengan saudara mara lain. Mereka berdua memiliki restoran kecil. 

Kalau pasal duit, aku memang tiada masalah. Setiap hari aku dibekalkan dengan duit tidak kurang dari RM10. Keuntungan dan kerugian perniagaan orang tua, tidak pernahku ambil tahu, apatahlagi membantu mereka. Setahu aku, minta duit untukku berpoya-poya. 

Kalau korang nak tahu, semasa di tingkatan dua dulu, ayahku membelikan aku sebuah motosikal. Kesian kat aku berjalan kaki ke sekolah katanya. Wahal, jarak sekolah dengan rumahku bukannya jauh pun. Kalau tak silap, kurang dari 1km. 

Pasal motosikal, teman seangkatan denganku memang meleleh la. Mana tidaknya, zaman tu jenama motosikal yang aku miliki adalah motosikal impian seangkatku. Aku apa lagi, mendongak ke langit la berlagak dengan apa yang kumiliki.

Persekolahan

Waktu persekolahan aku kerap tidak hadir. Ke mana? Sana-sini dengan motosikal kebanggaanku, tengok wayang dan buat perkara budak nakal. Atas sebab ini jugalah ayahku selalu dipanggil ke sekolah. Kes merokok, minum arak, ponteng sekolah dan semua kes ini berulang-ulang aku lakukan. Paling best, ayah hanya memberi aku nasihat sepatah dua kata, selebihnya dia lebih pedulikan soal perniagaannya.  

Dalam seminggu, kalau hadir ke sekolah pun dua tiga hari jer. Itu bagus kalau datang. Kadang-kadang sampai dua minggu berturut aku tidak hadir. Kalau pergi ke sekolah pun, mesti ada saja hal yang aku buat. Cikgu-cikgu memang tak cari kalau aku tak hadir. Malah mereka lebih seronok agaknya. Aman sekolah tanpaku, itulah yang selalu terungkap dari mulut guru-guru yang mengenali kenakalanku. Aku tahu, sebab ramai rakan sebaya yang sekongkol melaporkan padaku. Mereka rapat pun bukannya apapun, aku bagi upah RM2 untuk jadi orang bawahanku kononnya. 

Semasa mengambil keputusan tingkatan 3, aku tak sibuk dengan pelajar lain mengambil slip keputusan. Kenapa? Bukan aku duduki peperiksaan pun. Buat apa nak berbaris panjang. Buat semak jer. Oleh kerana, zaman aku sudah beralih kepada sistem pendidikan yang berbeza. Aku bernasib baik dapat menyambung ke tingkatan 4. Kalau zaman SRP mampus memang tak sekolah dahla aku. Malas nak kerja repeat-repeat paper ni. Zaman aku adalah zaman PMR. 

Haha, masuk sekolah semula la aku. Cikgu-cikgu tengok muka aku, macam hantu jer. Yang mengumpat pasal aku tak usah kira la. Femes buta aku. Tak heran juga mengapa hampir semua guru membenci aku, kerana perangai setan yang tak habis-habis menyusahkan hidup dorang. 

Pernah juga aku nyaris bertumbuk dengan cikgu disiplin. Mulutku boleh tahan lancang juga. 

"Aku pernah minta duit kau ke? Pehal nak sibuk dengan urusan aku!" itulah di antara yang pernah terucap dari bibirku sebelum aku membaling kerusi hampir kena pada seorang cikgu perempuan yang lalu di situ. Aku tak pernah serik. Aku tetap jadi diriku yang merasakan bebas dengan duniaku. Tidak dinafikan aku memang liar, nakal serta jahat. 

Semasa di tingkatan 4 dan 5 perangaiku semakin menjadi-jadi. Aku macam ketua samseng di sekolah. Sehingga tiada guru yang mampu menegurku lagi. Bagi diorang, zaman aku akan berlalu juga nanti. Konco-konco kuupah dengan duit. Aku upah mereka buat kerja sekolahku, dahla aku upah dorang la yang dapat ilmu lebih. Aku dapat apa? Selain itu, mereka ku upah jaga pintu tandas sementara aku merokok. 

Hanya satu saja yang aku tidak mampu. Bercinta. Walaupun aku buat semua kerja nakal jahat di sekolah, bercintalah aku langsung tidak pernah. Bukan tak pernah cuba nak ada awek. Tapi budak perempuan tak bagi muka kat aku. Mungkin kejelikan perangai aku jadi puncanya. Tapi aku tak kesah pun. 


Segalanya berubah, panas tidak bersinar hingga ke petang

Semasa minggu terakhir peperiksaan SPM. Dalam kepalaku memang sedar tiada harapan untuk mendapat keputusan cemerlang. Layak dapat sijil S.A.P sudah memadai. Masa tu aku sedar diri tidak berusaha sepertimana rakan-rakan lain. Kalau membaca pun, saya hanya dapat pendidikan asas semasa di sekolah rendah lagi, sebab masa tu tak buat perangai lagi, masih boleh diasuh. Bukan macam sekarang ni. 

  
Nak dijadikan cerita, semasa aku balik dari sekolah pada hari terakhir peperiksaan SPM. Aku melihat orang begitu ramai di rumahku. Aku yang tidak mengetahui apa-apa kerana sepanjang  seminggu terakhir aku tidak balik ke rumah sebab bertengkar dengan ayahku. Minggu tersebut aku membawa besar kepalaku bermalam menumpang di rumah kawan. 

Kebetulan ada seorang pakcik menuju keluar dan berselisih denganku. Aku mengambil kesempatan bertanya padanya.

"Kenapa ramai orang ni pakcik, takkan ayah dan ibu buat kenduri tanpa menunggu aku" ucapku. 

"Ayah dan ibumu kemalangan dua hari yang lepas, kedua-duanya meninggal di tempat kejadian, puas kami mencari engkau dari semalam lagi" balas pakcik tu dengan bersahaja. 

Setelah mendengar ucapan pakcik tersebut, aku penuh rasa kesal dan terduduk di atas tanah. Sekelilingku kelihatan berpusing-pusing. Selepas itu aku tidak sedarkan diri.

Menerima Berita Duka

Terjaga, aku sedar diri ada di klinik kesihatan. Seperti baru bermimpi ngeri. Aku bangkit dan segera keluar berlari pulang ke rumah. Sampai di rumah, aku terjerit-jerit memanggil ibuku. Tapi ibuku tidak menjawab. Ku jerit memanggil ayah, sama tiada jawaban. Semua bilik aku cari mereka berdua. Selepas itu aku terduduk dan termenung cuba mengingatkan ucapan pakcik semalam. 

Tidak lama kemudian datang seorang jiran mendapatkan aku ke situ. Dia datang kerana mendengar jeritanku tadi. Dia cuba menenangkan aku. Dia pun menceritakan padaku, bahawasanya aku pengsan semalam dan dukacitanya kedua-dua orang tua ku telah meninggal dunia. Dalam masa yang sama dia memaklumkan mereka dikebumikan lebih awal kerana tiada saudara-mara yang ditunggu. Aku paham, ia sudah pasti kerana mereka juga tidak pernah menghiraukan mana-mana saudara-mara yang lain sebelum ini. Lagipun, kami bertiga ini kira warga pendatang ke kawasan bandar ini. Aku dibesarkan tanpa mengetahui dari mana asal usul mereka. 

Apa yang terjadi dengan diriku? Aku menangis mengenangkan diri akan jadi sebatang kara. Aduh, di manalah aku berteduh, di manalah aku mendapat duit belanja? Siapa yang memasak untukku? Aku menjadi tidak keruan dan buntu. 


Kehidupan Baru

Mulai dari hari tersebut aku berdikari dengan apa jua carapun. Nasib juga ada sedikit wang dalam laci ibu kugunakan buat belanja makan di kedai kerana tidak pandai memasak. Aku memang tak pernah memasakpun. 

Restoran tidak diuruskan sebabnya aku memang tidak tahu apa-apa yang harus dilakukan. Akhirnya restoran itu ditutup begitu sahaja. 

Semakin hari, duitku semakin susut. Akhirnya aku hanya hidup dengan mee maggi. Kerana sedar duit semakin menipis, aku menggunakan cara mudah yakni menjual segala apa saja yang di dalam rumahku. Satu persatu harta benda ku jual. Tak sampai setahun, isi rumah tersebut menjadi kosong. Ikutkan rumah itu pun aku mahu jual, tapi tak tau caranya. Maklumlah aku masih lagi remaja yang bodoh tidak mengerti apa-apa. 

Oleh kerana, mindaku buntu, aku berusaha menumpang di rumah kawanku. Kalau sehari dua bolehla. Selepas itu aku mencari semua kawan-kawan yang aku upah dulu. Apa yang jadi, aku tidak dihiraukan. 

Satu-satunya harta peninggalan yang aku ada adalah motosikal pemberian arwah ayahku. Itupun sudah berabis akal aku mempertahankannya dan akhirnya jadi mangsa jualanku juga kerana desakan kewangan. 

Setelah merasakan hidup susah tanpa wang, aku mencuba mencari kerja. Aku mencari sebarang kerja. Logik akal yang aku dapat fikirkan adalah mencari kerja kat kedai makan. Logiknya boleh makan percuma. Mujurlah ada yang menerima aku berkerja, setelah puas mencari sekitar bandar. Syukurnya aku diberi penginapan di atas kedai makan tersebut. lagipun aku tiada pengangkutan kerana motosikal sudah kujual. 

Gaji RM450 sebulan. Sepanjang bekerja, setiap tahun gaji naik RM5 hingga RM30, itupun bergantung kepada keuntungan dan kualiti kerja. Ikutkan hati, nak juga cari kerja lain yang lebih besar gajinya. Tapi nak lebih macamana? Sijil pun tiada. Sijil S.A.P SPM dan Tingkatan 3 dulu pun aku tidak pernah ambik kerana malu berdepan dengan cikgu-cikgu di sekolah. Malu dengan diri sendiri. 

Kerana tauke kedai makan tempat aku kerja itu berpindah dan terpaksa menutup kedainya. Aku terpaksa mencari pekerjaan lain untuk menampung hidup. Kali ini aku kerja jadi buruh pembinaan pula. Kerja jadi tukang bancuh simen. Mak oi kerjanya hari-hari balik sakit pinggang. Kerja pun tak dapat nak penuh sebulan disebabkan cuaca. Hujan memang tak dapat turun kerja. Kerja bayar guna gaji hari. RM35 sehari. Oleh kerana selalu buat pinjaman dari tauke, pernah dapat gaji hujung bulan hanya RM135. Rambut pun dah macam kena inai, kerana dek kena karat besi. 

Kalau pengalaman kerja ni, paling menarik pun jadi tukang cat. Sebabnya tak kena berpanas sentiasa, ada kala mengecat dalam tempat terlindung dari hujan panas. Kalau sudah tamat kontrak sesbuah kompeni atau syarikat pembinaan, terpaksa juga cari kerja lain. Itulah pengalaman yang perlu aku tempuhi. Bersenang-senang dahulu, bersusah-susah kemudian.


Rakan Seangkatan

Baru-baru ni, beselisih pula dengan rakan seangkatan zaman sekolah dulu. Nak saja jauhkan diri dari mereka. Tapi malangnya tidak dapat dielakkan. 

"O kawan, lama tak jumpa awak, jom kita minum, jangan risau saya belanja" sapa seorang rakan seangkatan aku dulu.  

Difikirkan peluang juga, kawan belanja, ditambah juga perut sememangnya tengah lapar. Maka kami pun bersembang. Dia menceritakan tentang teman-teman senagkatan dulu. Ada yang jadi doktor, ada yang jadi engineer, cikgu dan macam-macam lagi perkerjaan yang jauh lebih sempurna berbanding aku. 

Ramai dah yang sudah ada anak bini, beli rumah, kereta mewah dan sebagainya. Aku pula masih menyewa tinggal di atas kedai. Pergi kerja pun masih berjalan kaki. Jangankan memikir untuk bekerluarga, nak sara diri pun payah. Seperti ayam, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Pesanan Buat Budak-budak Sekolah

Kesimpulannya, aku mengongsikan kisah hidupku bukan kerana aku menunjuk aku pernah hidup senang. Tetapi aku nak bagitahu anda semua terutamanya pelajar yang masih bersekolah, belajarlah rajin-rajin supaya dapat hidup dengan lebih sempurna di masa depan. Masa sekolah tu, janganlah korang buat perkara yang tidak mendatangkan faedah. Datanglah ke sekolah sentiasa dan janganlah tercicir dari pelajaran anda. 

Jika korang ada telefon canggih di tangan, ke sekolah naik kereta mewah, pakai yang cantik-cantik dan sebagainya. Beringatlah, itu bukan harta korang. Itu adalah kasih sayang ibubapa anda terhadap anda semua. Sepertimana yang aku lalui, aku tiada sesiapa sudah, hidup sebatang kara, hidup susah, bekerja pun untuk menampung hidup sahaja. Dengarkanlah pesan ini. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Jangan jadi macam aku.




Kisah ini adalah rekaan semata-mata, tiada kaitan dengan yang masih hidup ataupun sudah meninggal. Jika berlaku ia adalah kebetulan semata-mata. Semoga mendapat pelajaran dari kisah tadi.

Ditulis,
Cgu Justine Amping

Comments

Popular Posts