Mengharap Sinar Bahagia

Mengharap Sinar Bahagia

“Terima kasih,” ucap Suria sambil mengukir senyuman sebaik melangkah masuk ke dalam lif di lobi bangunan tempat kerjanya. Ucapan itu ditujukan kepada seorang jejaka yang telah menghalang pintu lif itu daripada tertutup supaya dia dapat meloloskan diri ke dalamnya. “Sama-sama,” balas Zairi ringkas, seringkas ucapan Suria kepadanya sebentar tadi. Suria pasti yang dia tidak pernah bertembung dengan jejaka itu walaupun sudah hampir 6 bulan dia bekerja di situ. Dan itu merupakan pertemuan mereka yang pertama kalinya. Suria mengagak yang jejaka itu mungkin baru sahaja bekerja di situ. Itu hanya tekaan daripada Suria yang entah betul entahkan tidak. Apa-apa pun Suria cuba bersangka baik kepada semua orang.
Tidak disangka oleh Suria, pertemuan yang tidak disengajakan itu telah membibitkan bunga-bunga kasih di dalam hati mereka berdua. Hari demi hari, rasa kasih dan sayang Suria terhadap Zairi dan begitu juga sebaliknya semakin mekar. Rasa hati mereka telah disuarakan kepada ibu dan ayah mereka di kampung. Pak Karim dan Mak Zainab cuba menasihati Suria, anak mereka itu agar tidak terburu-buru membuat keputusan untuk mengakhiri zaman gadisnya.

Usia Suria yang baru sahaja mencecah 20 tahun, mereka beranggapan yang Suria masih terlalu muda untuk hidup berkeluarga. Bukan Pak Karim dan Mak Zainab cuba melawan takdir tentang soal jodoh yang telah ditetapkan kepada anak mereka itu. Bagi mereka, banyak perkara lagi yang perlu dipelajari oleh Suria. Apa pun, mereka menyerahkan kepada Suria untuk membuat keputusan yang difikirkan tepat dan terbaik tentang soal hidupnya sendiri.
“Suria dah fikir semasak-masaknya ayah, mak,” kata Suria pada suatu petang ketika pulang ke kampung bertemu dengan ayah dan ibunya. “Suria tetap dengan keputusan Suria untuk menerima Zairi, itu pun hanya jika ada restu daripada ayah dan mak,” sambung Suria lagi cuba berterus terang dengan kedua orang tuanya itu. Pak Karim dan Mak Zainab tidak membantah hasrat anak sulung mereka itu kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan. Mereka berdua bersetuju dan mengikut kehendak Suria itu.

Suria juga telah memaklumkan kepada ayah dan ibunya bahawa dia telah meletak jawatan di tempat kerjanya itu kerana telah menerima tawaran untuk mengikuti kursus kejururawatan di sebuah kolej di Kota Bharu. Kebetulan, Zairi juga berasal dari ibu negeri Kelantan itu.

***

Persetujuan daripada ayah dan ibunya telah diberitahu oleh Suria kepada Zairi. Sebulan selepas itu, keluarga Zairi menghantar rombongan meminang Suria. Kegembiraan jelas terpancar di wajah Suria dan Zairi kerana hasrat mereka untuk hidup bersama bakal termakbul. Hati Pak Karim dan Mak Zainab masih terasa payah untuk melepaskan Suria pergi kerana mereka masih belum puas memanjakan anak mereka itu. Apa pun mereka tetap reda dengan semua yang telah ditetapkan kepada anak gadis mereka itu.

Beberapa bulan mengikat tali pertunangan, akhirnya Suria dan Zairi disatukan sebagai suami isteri. Kegembiraan dan kebahagiaan jelas terpancar di wajah Suria. Pak Karim dan Mak Zainab tumpang rasa gembira dengan kegembiraan anaknya itu. Hanya doa semoga anaknya itu sentiasa berbahagia yang mampu dipohon kepada Yang Maha Esa. Zairi juga telah meletak jawatan di tempat kerjanya untuk membuka perniagaan sendiri di Kota Bharu. Hati Pak Karim dan Mak Zainab sedikit lega kerana Suria tidak keseorangan di sana.

***

Masa bagaikan begitu pantas berlalu. Hampir sepuluh tahun usia perkahwinan mereka, Suria dan Zairi dikurniakan empat orang anak. Anak sulung mereka lelaki, yang kedua perempuan dan yang ketiga lelaki. Manakala anak mereka yang bongsu pula perempuan. Semua itu adalah pelengkap kehidupan Suria dan Zairi. Kebahagiaan yang diharapkan berkekalan itu, rupanya hanya sementara bagi Suria dan Zairi.

Ketika anak bongsunya menginjak usia dua tahun, Suria mula menyedari perubahan sikap Zairi terhadapnya. Kemesraan yang didambakan oleh Suria daripada Zairi semakin hilang hari demi hari. Perbualan mereka berdua juga tidak serancak dan semesra dulu lagi. Mungkin kerana kesibukkan Zairi dengan perniagaannya dan juga Suria dengan tugasnya sebagai seorang jururawat di sebuah hospital di daerah itu yang menjadi puncanya.

Suria mula perasan yang sejak akhir ini, Zairi selalu pulang lewat malam. Dan apabila Suria meminta Zairi menghantarnya ke tempat kerja di sebelah paginya, pasti menerima reaksi yang kurang menyenangkan hatinya. Sepanjang perjalanan menuju ke tempat kerjanya, tiada lagi perbualan dan juga gurau senda daripada Zairi. Sesekali Suria merasakan seolah-olah dia sedang menaiki sebuah teksi untuk pergi ke tempat kerjanya itu.

***

“Abang ada masalahkah?,” tanya Suria kepada Zairi ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya pada suatu hari. “Tak ada apa-apalah,” balas Zairi ringkas dan dengan nada yang agak serius. “Suria ada buat salah apa-apakah pada abang?,” soal Suria lagi, cuba mencari punca suaminya mula bersikap dingin terhadapnya kebelakangan ini. Zairi hanya mendiamkan diri dan terus menumpukan perhatian kepada pemanduannya tanpa menghiraukan Suria yang sedang menanti jawapan ikhlas darinya.

Seingat Suria, dia tidak ada melakukan perkara yang boleh menyebabkan Zairi marah. Tutur katanya dengan Zairi juga sentiasa dijaga dengan baik. Suria hairan dengan sikap Zairi yang semakin dingin dan seolah-olah cuba menjauhkan diri darinya. Makan, pakai dan urusan rumah tidak pernah diabaikan oleh Suria sekalipun dia penat setelah seharian bekerja. Suria tidak akan tidur selagi suaminya itu belum balik. Bagi Suria, suami dan anak-anaknya adalah segala-galanya buat dirinya selain daripada ayah dan ibunya sendiri.

***

“Apa salah Suria bang?,” tanya Suria dengan air mata yang bercucuran di pipinya sebaik sahaja mereka keluar dari bilik hakim Mahkamah Syariah Kota Bharu pada suatu petang. Suria ke Mahkamah Syariah itu untuk mendengar perbicaraan kes khalwat Zairi dengan wanita yang telah dijadikan isteri keduanya baru-baru ini. Zairi hanya tertunduk mendiamkan dirinya seakan mengaku kesalahannya terhadap Suria.

Hancur luluh hati Suria setelah mengetahui perbuatan suaminya itu. Zairi yang dikasihi dan disanjunginya selama ini telah mencincang lumat hatinya. Segala pengorbanannya selama ini dirasakan begitu mudah dipersiakan. Seakan tiada sekelumit rasa simpati dan kasihan di dalam hati Zairi buat dirinya. Mahligai yang dibina atas dasar cinta dan kasih itu diruntuhkan dengan begitu kejam oleh Zairi.

Setelah mendengar pengakuan dari mulut Zairi sendiri yang dia sudah tidak memerlukan Suria lagi di dalam hidupnya. Tiada apa lagi yang cuba untuk dipertahankan oleh Suria selain daripada berundur mengalah dengan penuh rasa kecewa di dalam hatinya. Sakit dikhianati oleh orang yang dicintai dan dikasihi sepenuh hati itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Air mata yang mengalir cukup sebagai bukti rasa kecewa yang bukan sedikit di dalam hati Suria.

***

Tanggal 20 september 2012 terlerailah ikatan kasih yang dibina oleh Suria dan Zairi setelah dijatuhkan talak satu oleh bekas suaminya itu. Kepiluan hati wanitanya tidak mungkin difahami oleh hati lelaki seperti Zairi. Harapan untuk hidup bahagia bersama Zairi hingga hujung nyawa seperti yang dimeterai oleh mereka tidak kesampaian.

Suria akui yang sememangnya dia bahagia menjadi isteri Zairi. Namun, entah di mana silapnya, dia gagal mempertahankan mahligai yang dibina dengan untaian kasih yang bukan sedikit. Suria yakin yang semua itu adalah ketentuan daripada Yang Maha Esa untuk dirinya. Tidak sesekali cuba menyalahkan takdir, Suria nekad untuk terus mengharungi hidupnya demi anak-anak yang sedang membesar itu.

Suria melangkah kaki meninggalkan bumi Kelantan bersama anak-anaknya dengan seribu kenangan. Tanpa kasih seorang lelaki, tidak bermakna hidupnya akan berakhir begitu saja. Suria kembali ke negeri asal kelahirannya di selatan tanah air. Pulang ke pangkuan ayah dan ibunya bersama-sama dengan permata-permata hatinya. Suria tekad untuk terus tabah mengharungi hidup demi masa depan anak-anaknya. Terselit juga di lubuk hati Suria secebis rasa untuk mengecap bahagia di suatu hari nanti. Insya Allah.

Nukilan : Ally Kasyaf
Cikgu Allie Mohd

Comments

Popular Posts